Dulu-dulu sewaktu semester pertama didalam kelas English, kami dikehendaki menulis sebuah catatan pendek, tentang impian dan cita-cita.
Saya tuliskan dalam esei tersebut bahawa saya berangan-angan betul untuk menerbitkan sebuah komik islamik, sungguh-sungguh berangan bahawa matlamat utama komik tersebut adalah untuk menyebar dakwah dan mengajak pembaca untuk menghayati indahnya hidup bersama islam.
Menurut saya komik adalah medium yang cukup baik. Benar, sebagai pendedahan awal bagi memupuk minat kanak-kanak membaca, dan tidak kurang sebagai bacaan santai kepada semua peringkat umur, daripada pelajar sekolah mahasiswa pengajian tinggi sehinggalah kepada yang sudah layak digelar bapa.
Pengalaman diri sendiri pastinya, saya menguasai kemahiran membaca dengan membaca komik. Dan saya masih ingat komik wajib beli setiap bulan adalah komik 'kawan', saya kurang pasti jika masih diterbitkan atau tidak.
Melihat alangkah baiknya jika medium ini digunakan sebaiknya untuk kepentingan islam. Ya, menerapkan nilai-nilai akhlak, dakwah, cara hidup islam, dan tarbiah didalam karya komik. Dengan ini komik bukan sekadar menjadi penarik minat anak-anak membaca atau sebagai bacaan santai malahan membaca komik membuatkan kita berfikir, merenung dan menjadi medium tazkirah yang berkesan.
Wah, saya memang kuat berangan.
Impian atau lebih tepat angan-angan tersebut saya kira masih lagi kekal berapi dan saya kira tidak pernah padam. Dengan bakat menconteng nota kuliah, saya mulakan sendiri dengan blog perantau, cuba-cuba untuk berkongsi karya yang tidak seberapa juga. Masalah utama adalah untuk mengedit artwork yang siap didalam photoshop, saya tak pernah kenal cs3, cs4, atau sai paint tool sebelum terjebak didalam dunia komikus ini.
Man jadda wa jada.
Saya usahakan untuk melihat-lihat kedalam youtube dan mencedok beberapa teknik didalam web tutorial. Dan alhamdulillah hasilnya walaupun masih lagi dalam peringkat amatur, namun sudah cukup untuk memuaskan hati sendiri.
GENG kartunis USIM
GENG adalah usaha kecil untuk menghimpunkan bakat-bakat dalam seni lukisan didalam kampus USIM untuk sama-sama berhimpun dan berkongsi fikiran dan tenaga didalam satu unit kecil bagi melakukan usaha dakwah dalam bidang seni lukis ataupun komik.
GENG merupakan unit kecil bawah unit multimedia Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia SPMM. Antara perancangan GENG adalah untuk menghasilkan kartun dakwah secara konsisten atau berkala sekali dalam masa dua minggu dan bakal diterbitkan didalam risalah SPMM untuk edaran di kampus.
Dan jika usaha ini dilakukan secara istiqamah dan tidak terputus tidak mustahil SPMM bakal menerbitkan komik dakwah mereka sendiri yang pertama.
Bakat melukis dan mencongteng adalah anugerah. Betul, tak semua mampu untuk melukis dan mencongteng dan bagi saya alangkah baiknya jika pinjaman bakat dan potensi yang dikurniakan ini digunakan untuk islam dan dakwah.
Saya mengharapkan GENG menjadi medan bagi golongan yang mempunyai bakat, potensi atau minat dalam arena komik untuk berkongsi karya. Besar harapan supaya usaha ini menjadi pencetus dan moga-moga ianya tidak terputus atau terhenti separuh jalan dan moga-moga GENG terus berkembang dan istiqamah dalam menyebarkan dakwah khususnya di bumi USIM.
Jadi saya mewakili GENG menyeru bakat-bakat yang ada untuk sama-sama kita menyumbang fikiran dan tenaga bagi menjayakan usaha dakwah ini. Moga-moga usaha ini dinilai sebagai amalan berpahala dan menjadi saham kita disana.
Dan paling penting pastinya ikhlaskan niat kita bekarya untuk ummah. Doakan supaya kita semua istiqamah dan usaha yang kecil ini berjalan dengan sempurna.
Perantau, 7.09 a.m.
Desa Jati, Nilai.